Pages

Thursday, November 12, 2015

Teks Pengacara Majlis Restu Ilmu SPM 2015




TEKS PENGACARA MAJLIS
 MAJLIS RESTU ILMU SPM 2015
Tarikh : 30 Oktober 2015
Tempat : Dataran Hasimah, SMKPRZ

Majlis mengalu-alukan kedatangan Yang Berusaha En. Mokhtar bin Manaf diiringi barisan pentadbir dan AJK PIBG ke Majlis Restu Ilmu SPM 2015.

Di tepi kali mengail ikan,
Kail dibawa bersama umpan.
Selamat datang kami ucapkan,
Kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan.

Duduk bersimpuh si anak dara,
Sambil meraut sebakul rotan;
Awal Bismillah pembuka bicara
Majlis Restu Ilmu kita raikan.

Bismillahirrahmanirrahim.

1.   Yang Berusaha Puan Hjh. Lasiah Binti Yeop Tasin
Pengetua SMK (P) Raja Zarina

2.   Yang Berusaha Encik Mokhtar Bin Manaf
YDP PIBG SMK (P) Raja Zarina

3.   Yang Dihormati Puan Noorsiah Binti Othman
Penolong Kanan Pentadbiran

4.   Puan Rahimah Binti Haji Jalil
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid

5.   Puan Noraizah Binti Mohd Noor
Penolong Kanan Kokurikulum

6.   Barisan Guru Kanan Mata Pelajaran

7.   AJK PIBG, Guru-guru, dan pelajar-pelajar  tingkatan 5 yang direstui sekalian.


Assalamualaikum WBT, salam sejahtera dan salam sehati sejiwa.


Alhamdulillah, mari kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran  ke hadrat llahi kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua kita dapat berkumpul  di Dataran Hasimah pada pagi yang indah ini bagi meraikan Majlis Restu Ilmu SPM 2015.
Majlis terlebih dahulu merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan dan kesudian semua hadirin untuk sama-sama menjayakan majlis ini.
Majlis ini diadakan  khas buat pelajar-pelajar Tingkatan 5 sebagai tanda kasih sayang dan sokongan padu  pihak sekolah kepada calon-calon SPM yang akan menduduki peperiksaan .

Hadirin yang dirahmati sekalian,

Hajat ke hutan menebang buluh,
Singgah di sungai memasang lukah;
Tangan menyusun jemari sepuluh,
Majlis berlangsung penuh barakah.


Bagi memberkati majlis kita pada pagi ini, majlis mempersilakan  Encik Muhamad Idham bin Zakaria untuk memimpin bacaan doa. Dipersilakan.

Amin Amin Ya Rabbal Alamin.
Majlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Muhamad Idham atas bacaan doa itu tadi.


Bunga melati di hujung dahan,
Penghias seri di sudut taman;
Sudilah tuan beri ucapan,
Kata perangsang buat pedoman.

Bagi meneruskan acara, Majlis dengan segala hormat mempersilakan Yang berusaha Pn Hjh. Lasiah Binti Yeop Tasin, Pengetua SMK (P) Raja Zarina untuk menyampaikan amanat dan kata-kata perangsang buat pelajar semua. Dipersilakan.

***Ucapan***

Ribuan terima kasih atas pengucapan yang telus, percikan  kata yang halus membawa mesej dan makna yang kudus daripada  Puan Pengetua kita.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Majlis diteruskan lagi dengan mempersilakan Yang Berusaha Encik Mokhtar Bin Manaf, YDP PIBG SMK (P) Raja Zarina untuk menyampaikan ucapan bagi suntikan semangat. Dengan segala hormatnya mempersilakan.

***Ucapan***

Buah longan beli sekati,
Buat makan di atas jeti;
Pesanmu Tuan kami ingati,
Akan terpahat di dalam hati.

Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Encik Mokhtar atas ucapan itu tadi.

Tegak berdiri di tengah dataran,
Bersama menyanyi lagu kebangsaan,
Cenderahati diberi tanda ingatan,
Semoga cemerlang dalam peperiksaan.

Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian cenderahati dan salam restu buat pelajar-pelajar tingkatan 5.

Dimulakan dengan kelas 5 Amanah. Dijemput guru tingkatan Puan Mulia bt Amat Khalid untuk menyampaikan cenderamata kepada para pelajar.

Terima kasih diucapkan kepada Pn. Mulia.

Seterusnya dipersilakan
Guru Tingkatan 5 Berdikari : Pn. Sartina bt Kusaini
*******
Terima kasih diucapkan kepada Pn. Sartina.

Guru Tingkatan 5 Cekal :  Pn. Ruzita bt Abdul Aziz
Guru Tingkatan 5 Dedikasi : Maggie a/p Paul
Guru Tingkatan 5 Etika : Cik Nurul Zahiah bt Ya
Guru Tingkatan 5 Falsafah : Pn. Norhaslina bt Mansor
Guru Tingkatan 5 Gigih : Pn. Norliza bt Zainol
Guru Tingkatan 5 Hormat : Puan Nurul Fasihah bt Alias
Guru Tingkatan 5 Inovatif : Puan Sapiah bt Saliman
Guru Tingkatan 5 Jujur : Puan Nantha Kumari a/p Murugan

Terima kasih diucapkan kepada Pn. Nantha.



Hadirin yang dihormati sekalian,

Buah cermai jatuh berderai,
Jatuh berderai di atas para;
Hasrat hati tak mahu bercerai,
Namun kita di hujung acara.

Dengan itu, majlis sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas kesudian En. Mokhtar bin Manaf dan AJK PIBG kerana dapat meluangkan masa bersama-sama kami pada hari ini.


Buat anak-anak didik yang direstui sekalian,

Guru-guru amat berharap dan mendoakan, sisa-sisa waktu yang ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Semoga segala ilmu yang dicurahkan oleh para guru, apa yang dibaca dan dihafal akan mengiringi anak didik sekalian ke dalam bilik peperiksaan tanpa ada yang tercicir.

Dalam kesempatan ini, dalam pertemuan bermakna ini marilah kita sama-sama melapangkan dada saling memaafkan dan  merelakan antara guru dan  para pelajar pada pagi ini semoga keberkatannya untuk manfaat bersama bagi mencari landasan  hidup yang berjaya. Beroleh kecemerlangan di dunia dan di akhirat.


Akhir kata, 

Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita ;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.

Hinggap cemara di pagar batu,
Mencari makan di awal pagi ;
Selesai sudah majlis restu ilmu,
Dilain masa bersua lagi.


Sekian,

WabillahiTaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dipersilakan tetamu jemputan dan barisan pentadbir ke Anjung Selera untuk menikmati jamuan yang disediakan.



@lynjyctrz